Pages

Sunday, 19 January 2014

MUQADDIMAH

Sabda Rasulullah SAW :

“Pelajarilah ilmu Faraid dan ajarilah kepada orang lain, sesungguhnya aku ini akan dicabut (wafat), begitu halnya ilmu ini akan dicabut, apabila timbul fitnah (dugaan atau ujian berkenaan pusaka), sehingga dua orang berselisih tentang faraid, tiada seorang pun yang tahu cara untuk menyelesaikannya."

Hadis di atas merupakan satu gesaan kepada kita supaya mempelajari ilmu Faraid. Seringkali orang beranggapan ilmu Faraid adalah susah untuk dipelajari. Tanggapan yang salah ini adalah merupakan taktik musuh Islam yang tidak ingin melihat agama Islam berada di martabat yang tertinggi.

Konsep ilmu kira-kira yang terdapat pada amalan ilmu Faraid adalah melibatkan pengiraan yang mudah sahaja. Ia hanya melibatkan operasi campur, tolak, darab, bahagi, nisbah  gandaan sepunya dan faktor sepunya sahaja. 

Rasulullah SAW juga menyatakan bahawa Ilmu Faraid ini ialah nisfu ilmi yang bermaksud separuh ilmu. Ini membuktikan bahawa ilmu faraid ini sangat penting dan banyak faedahnya.

Mengapa ianya dianggap sebagai nisfu ilmi? Dengan mempelajari ilmu faraid ini akan membuka jalan kepada bidang ilmu yang lain seperti ilmu syarak. Secara tidak langsung kita juga akan tahu hal-hal yang berkaitan dengan wasiat, hibah, hadiah, harta sepencarian, zakat dan juga nazar. 

Dengan mempelajari ilmu faraid juga kita akan mengetahui asal usul keturunan kita. Siapa yang kita boleh kahwini dan sebaliknya. 

Ilmu faraid juga dapat mengembangkan kemahiran matematik seseorang. Ia menjadi senaman minda yang cukup baik. Para saintis membuat kajian bahawa individu yang sering membuat latihan matematik secara tidak langsung dapat menguatkan ingatan dan mempertajamkan minda mereka.

Perlu juga diingat, mempelajari ilmu faraid bukanlah bererti kita tamakkan hak kita di atas harta yang bakal ditinggalkan, tetapi sebenarnya mempelajari ilmu ini adalah bagi memastikan kita tidak mengambil bahagian yang bukan milik kita. Jika kita mengambil bahagian yang bukan hak kita, maka api nerakalah yang selayaknya buat kita di akhirat kelak.

Blog ini bukan bertujuan untuk memberikan khidmat perundangan. Ia dibuat bagi membantu umat Islam memahami dan mendalami ilmu faraid. Bagi tujuan perundangan, sila dapatkan nasihat profesional yang sepatutnya.

Akhir kata, ayuh kita tajamkan minda, pasakkan azam, kuasai faraid!


Hj Ahmad Sidqi Bin Hj Danial

No comments:

Post a Comment