Hukum Berkenaan Faraid
Adalah suatu
tuntutan bagi umat Islam untuk melaksanakan faraid jika terdapat kematian.
Pembahagian harta pusaka menurut Islam adalah penyelesaian yang adil dan
sistematik kerana Allah SWT sangat mengetahui di mana kelemahan dan kelebihan
dalam diri manusia.
Adil
yang dimaksudkan di sini bukan sama rata tetapi maksudnya ialah sesuai pada tempatnya. Contoh mudah ialah seperti
jika kita memiliki dua orang anak kembar, seorang lelaki dan seorang perempuan.
Jika sama rata yang kita inginkan, tentulah kedua-duanya memakai songkok,
tetapi jika keadilan yang kita ingin
tunjukkan, tentulah seorang akan dibelikan songkok dan seorang lagi akan
dibelikan tudung walaupun ianya berbeza pada bentuk dan mungkin juga pada
harganya.
Begitu
juga halnya dalam pembahagian faraid ini. Adakalanya seseorang waris itu
mendapat pusaka yang lebih kecil berbanding ahli waris yang lain. Tidak sama
rata dengan ahli waris yang lain, tetapi sedarlah ianya adalah adil mengikut
kedudukan dirinya di dalam sebuah organisasi keluarga tersebut.
Di
dalam surah an-Nisak ayat 11-13, Allah SWT telah menjelaskan kaedah pembahagian
faraid dengan jelas. Dalam ayat ke 14 surah yang sama Allah SWT telah mengecam
manusia yang ingkar dengan perintah faraid ini. Mereka akan dimasukkan ke dalam
api neraka dan akan mendapat azab siksa.
Ancaman
ini sangat berat. Perlu diingat, sekiranya kita mengabaikan hukum faraid,
dikhuatiri kita akan mengambil harta anak yatim, saudara mara dan juga harta
yang sepatutnya diberikan kepada Baitul Mal. Kita juga mesti sedar bahawa usaha
menjalankan faraid ini juga bukti taat dan iman kita kepada Allah SWT. Ia
adalah satu ibadah.
Ancaman
neraka bagi pengumpul harta dan pemakan harta anak yatim ini juga turut
dijelaskan oleh Allah SWT dalam surah al-Fajr, ayat 15-24. Terkadang manusia
ini memandang mulia pada banyaknya harta, sehinggakan dia sanggup mengambil
harta anak yatim dari kalangan keluarganya sendiri bagi menambah hartanya
sendiri.
Manusia
menganggap apabila seseorang itu kaya, maka itulah kemuliaan yang sebenarnya
dianugerahkan Tuhan. Fahaman ini adalah salah. Harta itu sebenarnya adalah
ujian bagi manusia, bukanlah kemuliaan. Kemuliaan yang sebenar ialah hidayah
dan taufik untuk beriman dan beramal soleh.[1] Semoga
kita dijauhkan dari menerima azab Allah SWT ini.
No comments:
Post a Comment